BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, 23 May 2011

bicara lelaki

Bicara seorang suami
Perempuan bagaikan angin… Lembutnya melenakan… ributnya menggusarkan…

Adakalanya mereka seperti ibu… menyaji kasih, menghidang sayang…
Adakalanya mereka seperti anak… ingin dibelai, minta dimanjakan…
Adakalanya mereka seperti nenek… berleter seadanya, merungut semahunya…

Namun,
Teman kembara dalam kehidupan yang sementara ini…
bahagia dan derita kita sangat berkait dengan mereka…

Pssttt…
Tiba-tiba isteri merajuk… pandai-pandailah memujuk…
buka telinga, tajamkan pendengaran, amati suaranya…
teliti dengan hati yang terseni… rasional atau emosi?
Andainya emosi, belailah emosi itu… jangan cuba dihadapkan secara rasional…
kerana si dia tak akan terdaya… mengunyah hujan,
berilah walau seribu sebab…
lengkap dengan perangkaan statistik… atau dokumen saintifik…
beserta dengan beberapa affidavid…
Dia tetap melulu kerana fikiran sudah berjerebu…

Dalam siuasi ini… fikiran telah ditawan perasaan… sebaiknya, perhaluskan kata,
perindahkan bahasa, jinakkan perasaan, hadiahkan seyuman….

Masih gagal?
Cuba gunakan sentuhan, semarakkan belaian....

Masih gagal juga?
Tunggu saja rajuknya reda… emosi isteri… bagai riak-riak air dalam cawan…
Jangan digongcang…. Buat selamba… lambat laun gelombang akan tenang…
Air dicawan akan kita minum jua…

Tapi awas…
Kalau ternyata rajuknya berfakta… masamnya berdata… geramnya berilmiah…
marahnya ada prima facie… ini rajuk taraf tinggi namanya….
Perlu ditangani berhati-hati… kalau ternyata benar, apa salahnya kita terima…
mengaku lalu berjanji serta berikrar “Sayang abang tak ulang lagi.”
Katakan “ Sayang… abang alpa”
Bisikkan “ Darling… I lupa...”
Hulurkan tangan… minta kemaafan…
Pendekatan kasanova … tapi hati suci…

Rajuk isteri seperti mangga muda… perisanya masam…
Tetapi….
Kalau kena cicahnya… enaknya yang terasa…
Ingat api yang panas, padamkan dengan salji yang dingin…

Arghhh…
Tiba-tiba isteri merungut…
Malah kadang kala agak mengugut… minta aksesori atau perabot…
Minta villa yang tersergam indah… atau mahligai di lerang bukit…
Sedangkan  kita bukan Shah Jehan… yang mampu membina Taj Mahal buat isterinya….
Tetapi isteri pula persisi Nur Jehan yang meminta petanda keagungan cintanya…
Katanya “Seabadi permata… segemerlapan intan…”
Sedangkan ditangan kita hanya cincin tembaga…

Aduh…
Peritnya mengukur cinta… dalam ukuran mayam atau menimbang setia…
Menerusi Bursa Saham papan utama…
Kasih isteri, turun naik…
Mengikut kadar tukaran asing…

Tiada guna menyesali diri… diakan dulu pilihan kita?
Semasa mekarnya dia dihargai, dipuja-puji….
Dia kini sudah menjadi ibu pada anak-anak kita…
Sudah takdir…
Permata yang dipilih, perlu digilap semula…

Namun,
Putus asa jangan sekali… terimalah dia, dengan redha…
Justeru isteri pada hakikatnya adalah bayang-bayang suami…
Wanita adalah tulang rusuk yang bengkok….
Luruskan dengan berhati-hati… bertegas tapi jangan berkeras… Lembut tapi jangan reput…

Katakana RM bukan segala-galanya…
Lalu pada saat yang kudus… setelah bersolat bersama…..
Bisikkanlah “Duhai isteriku… marilah kita bina perkahwinan ini dengan cinta yang sejati…
marilah kita kutip rezeki dengan keringat tersuci,
mari kita cari harta, tetapi itu bukan segala-galanya…
padamu isteri… istanamu, di hati ini…
padamu sayang kalung cintamu, di jiwa ini…”

Puuuh…
Akan tiba masanya apabila isteri dihati… tapi kurang dimata…
Usia meningkat, kecantikan tergugat…
Dulu yang kita lihat mulus kini beransur pupus…
Betis, tidak lagi bunting padi…
Pipi, bukan lagi pauh dilayang…
Apakah dengan itu akan berkurang cinta kita…
Selama ini cinta dimata bertapak di body…
Tapi jika cinta tetap kekal… malah semakin bertambah…
Ertinya cinta kita dihati, berpasak di budi…
Itulah cinta sejati…

Namun tidak salah…
Di samping menyanjung budi… kita merampingkan body,
Kalau ada kesempatan… ajaklah dia bersenam… amalkan puasa sunat…
Tapi ingat niat kerana Tuhan… bukan kerana ingin kuruskan badan…
Tapi Tuhan Maha Penyayang…
Dia sentiasa membantu isteri yang ingin keredhaan suami…
Tak salah kalau mohon kesihatan, kecantikan dan kecerdasan…
Sama-samalah merampinkan badan…
Yang terlebih dikurangkan… jangan sesekali mencemuh apalagi menjauh...
Apa gunanya membandingkan isteri dengan perawan…

Bukan masanya lagi merenung dara…
Tapi kini saat menghitung dosa..
Lalu ajaklah isteri menambah bakti…
Moga-moga cinta kita hingga ke hujung usia…
Di dunia ini dan di akhirat nanti…
Itulah yang dikatakan…
Hidup berdua, ’selepas’ mati pun bersama…

Uuuhhhhhh…
Kekadang isteri mengamuk…
Dengan ombak prasangka dan taufan cemburu…

Apa bukti setiamu suami?
Apakah tandanya hanya aku di hatimu?
Kekadang disergahnya kita…
Ketika keringat masih membasah…
Baru menjengah pintu rumah…

Ketika itu nilailah diri…
Mungkin kita berdosa dengan Tuhan…
Atau bersalah dengan insan…
Mungkin banyak kezaliman dan penganiayaan, yang telah kita lakukan…
Lalu datang teguran, amaran dan peringatan…
Secara ‘indirect’ dari Tuhan…
Hadapkanlah diri ke cermin hati…
Kalau liar, berhentilah…
Kalau berdosa, bertaubatlah…

Sebaliknya, jika ternyata isteri yang melulu…
Nasihatkanlah baik-baik…
Bukan senang nak senang…
Ingatlah mastika dalam kitab-kitab tua…
Suami yang sabar dengan isteri yang jahat…
Akan mendapat pahala Nabi Ayub…
Atau ingatlah pesan Sayidina Umar al-Khatab…
Ketika didatangi seorang suami yang dileteri isteri…

“Bersabarlah kerana isteri telah banyak membantu kita…
Dia yang menyelamatkan kita dari amukan nafsu…
Dia yang membantu menjaga makan minim kita…
Dia yang mencuci kain baju kita…
Dia yang membantu membersihkan rumah kita…
Lalu apa salahnya kita bersabar dengan sedikit kerenahnya…?”

Marilah sama-sama kita tabur sedikit salji pada segengam api…
Telah banyak kita dengar cerita keruntuhan, kisah perpisahan…
Marilah kita suburkan kembali pohon perkahwinan ini…
Walaupun sudah berdekat-dekat lamanya…
Institusi ini adalah kubu terakhir kita…
Marilah kita pertahankan bersama si dia…
Si diaku, si diamu…
Cinta kita jangan mati dalam arus dunia siber…
Biar setia kita makin waja…
Biarlah skrin-skrin internet atau internet memaparkan
Yang indah-indah pantulan seri rumahtangga kita…

Bicara ini diakhiri dengan satu coretan…
Yang mungkin boleh diguriskan pada kad lahir isteri…
Atau kad ulang tahun perkahwinan…
Atau surat biru yang ingin kau utuskan padanya…

Atau kau pahatkan saja dihalaman hatimu pada malam nanti…
Aku hanya seorang suami…
Yang menerima setulus hati seorang isteri…
Janji yang termeterai…
Di akad nikah kita musim yang lalu…
Salam ku hulur buat menyapa hatimu nan luhur…
Bersamalah kita harungi derita yang datang…
Bersatulah kita tempuhi nikmat yang bertandang…
Denai perkahwinan pasti dihujani air mata…
Biar kita rasa
Rupanya syurga itu sangat tinggi maharnya…

Isteri…
Tidak ku tagih setia, sesetia Hawa…
Atau kerinduan menggila Laila yang sangat dalam…
Terimalah kehadiranku…
Di sudut tersuci di dalam hatimu…
SEORANG ISTERI….
sumber klik sini

0 comments: